SERAHANG
Serahang ialah "kepala hantaran" kepada ipok. Ia perlu dibuat mengikut motif tertentu. Motif pada serahang ialah gambaran daripada sistem kepercayaan atau kosmologi Melanau, khususnya sejauh yang berkaitan dengan ipok.
Lambang itu menggambarkan bahawa ia ada kaitan dengan jumlah lapisan dunia yang dikatakan tujuh lapisan di atas dan tujuh lapis di bawah.Motif-motif pada serahang turut melambangkan imej ipok laut, darat, dan udara.Motif yang sesuai dan cukup akan menyenangkan hati ipok.
Serahang yang diperbuat daripada bahan-bahan berikut - buluh, tedieng, semat, daun nyipah muda, daun iseng dan daun tegoh - disediakan beberapa hari sebelum kaul.Sebahagian daripada bahan itu tidak mudah diperoleh kerana ia perlu dicari dari dalam hutan.Serahang dibuat oleh wanita kerana motif-motif tertentu memerlukan mereka yang teliti, dan ini sesuai dengan sifat wanita.
Berdasarkan pemerhatian, serahang bukan sahaja menuntut ketelitian dan kesabaran tetapi juga daya kreativiti yang tinggi, dengan mengambil kira unsur-unsur tertentu dalam perayaan dan juga sistem kepercayaan masyarakat. Sebenarnya, serahang berasal daripada perkataan "serahan", iaitu barang persembahan untuk ipok. Dan, bunyinya juga begitu dekat dengan "Rirang" yang merujuk kepada Rirang Rabu Bunga dalam mitos berkaitan dengan Sepok di Dalat.
Di Dalat, serahang bertujuan untuk membuang sial, mengelakkan malapetaka, musuh, dan penyakit.Serahang dan jenis hantaran di dalamnya telah "dititahkan dalam mimpi". "Serahang merupakan upacara penting kerana ia adalah satu persembahan kepada semangat laut yang menurut kepercayaan masyarakat Melanau, bahawa mereka akan mendapat kemakmuran, keharmonian dan kemurahan rezeki jika melakukan persembahan itu".
Serahang yang tingginya sekitar tujuh kaki mempunyai bentuk dan komponen serta unsur-unsur tersendiri. Komponen perlu lengkap kerana serahang yang tidak sempurna boleh menyebabkan ipok murka, dan akhirnya menimpa mereka yang membuatnya.
Justeru, hanya mereka yang berpengalaman dapat mengetuai kerja-kerja membuatnya. Struktur utama serahang ialah batang buluh tedieng. Bahagian-bahagian wajib yang perlu ada pada serahang ialah paka, tepasik, tetilip, beburung dan patik, dengan jumlah yang menggambarkan jumlah ipok dan lapisan bumi. Terdapat tujuh batang tetilip dan tujuh tiang bendera pelbagai warna diletakkan di atas, dengan tujuh ekor beburung.
No comments:
Post a Comment