Penari Sri Ritma Borneo semasa membuat persembahan di Borneo Cultre Festival di Sibu
Sunday, January 16, 2011
SERAHANG
SERAHANG
Serahang ialah "kepala hantaran" kepada ipok. Ia perlu dibuat mengikut motif tertentu. Motif pada serahang ialah gambaran daripada sistem kepercayaan atau kosmologi Melanau, khususnya sejauh yang berkaitan dengan ipok.
Lambang itu menggambarkan bahawa ia ada kaitan dengan jumlah lapisan dunia yang dikatakan tujuh lapisan di atas dan tujuh lapis di bawah.Motif-motif pada serahang turut melambangkan imej ipok laut, darat, dan udara.Motif yang sesuai dan cukup akan menyenangkan hati ipok.
Serahang yang diperbuat daripada bahan-bahan berikut - buluh, tedieng, semat, daun nyipah muda, daun iseng dan daun tegoh - disediakan beberapa hari sebelum kaul.Sebahagian daripada bahan itu tidak mudah diperoleh kerana ia perlu dicari dari dalam hutan.Serahang dibuat oleh wanita kerana motif-motif tertentu memerlukan mereka yang teliti, dan ini sesuai dengan sifat wanita.
Berdasarkan pemerhatian, serahang bukan sahaja menuntut ketelitian dan kesabaran tetapi juga daya kreativiti yang tinggi, dengan mengambil kira unsur-unsur tertentu dalam perayaan dan juga sistem kepercayaan masyarakat. Sebenarnya, serahang berasal daripada perkataan "serahan", iaitu barang persembahan untuk ipok. Dan, bunyinya juga begitu dekat dengan "Rirang" yang merujuk kepada Rirang Rabu Bunga dalam mitos berkaitan dengan Sepok di Dalat.
Di Dalat, serahang bertujuan untuk membuang sial, mengelakkan malapetaka, musuh, dan penyakit.Serahang dan jenis hantaran di dalamnya telah "dititahkan dalam mimpi". "Serahang merupakan upacara penting kerana ia adalah satu persembahan kepada semangat laut yang menurut kepercayaan masyarakat Melanau, bahawa mereka akan mendapat kemakmuran, keharmonian dan kemurahan rezeki jika melakukan persembahan itu".
Serahang yang tingginya sekitar tujuh kaki mempunyai bentuk dan komponen serta unsur-unsur tersendiri. Komponen perlu lengkap kerana serahang yang tidak sempurna boleh menyebabkan ipok murka, dan akhirnya menimpa mereka yang membuatnya.
Justeru, hanya mereka yang berpengalaman dapat mengetuai kerja-kerja membuatnya. Struktur utama serahang ialah batang buluh tedieng. Bahagian-bahagian wajib yang perlu ada pada serahang ialah paka, tepasik, tetilip, beburung dan patik, dengan jumlah yang menggambarkan jumlah ipok dan lapisan bumi. Terdapat tujuh batang tetilip dan tujuh tiang bendera pelbagai warna diletakkan di atas, dengan tujuh ekor beburung.
apa itu tibow...
TIBOW
Tibow-sejenis permainan tradisi masyarakat Melanau yang sangat popular. Dikenali sebagai Pisa' Tibow, permainan ini dilangsungkan oleh masyarakat kampung sebagai simbol perpaduan dan bersuka ria di samping menyambut ketibaan musim buah. Dan sebagai pemainan yang digemari ramai-waktu inilah anak-anak muda berkaul - ia sebenarnya merupakan pesta untuk mencari jodoh.
Tibow lazimnya dimainkan di kawasan tanah lapang, belakang atau hujung kampung. Biasanya, tapak untuk permainan tersebut haruslah lembut dan tidak mempunyai batu-batu kerikil yang keras. Bahkan di sesetengah tempat, diletakkan pasir untuk mengelakkan para pemain yang jatuh hayunan daripada mendapat sebarang kecederaan parah.
Diadakan pada musim buah, lazimnya pada awal tahun, tibow dimainkan bermula pada waktu petang, hingga kadang-kadang sehingga larut malam. Pada zaman dahulu, penduduk akan bermain pada waktu bulan mengambang, kerana pada waktu inilah suasana di sekitar tapak permainan tampak terang. Dan dari segi keselamatan, ia akan memudahkan permainan tersebut.
Bermain tibow mengikut tradisi Melanau Mukah, tidaklah semudah seperti yang dilihat. Terdapat beberapa pantang larang dan tradisi yang perlu diikuti untuk membolehkan si pemain bermain dengan selamat. Bahkan untuk mendirikan peralatannya pun harus dengan tertib dan istiadatnya sendiri. Ini termasuklah dengan menyediakan bubur kacang dan penglibatan tenaga yang banyak.
Sebanyak dua tiang kayu yang masing-masingnya panjang melebihi 30 kaki diperlukan untuk pembinaan tiang tibow ini, selain beberapa batang kayu sederhana sebagai tangga rak. Rotan sega dan daun muda pula digunakan untuk membentuk penghayun manakala set canang dan gendang melela pula dipalu bagi memeriahkan dan menambahkan gempar suasana.
Semasa mengangkat untuk mendirikan kedua-dua tiang itu, pantun dinyanyikan beramai-ramai: Kat kerakat, Kerurieng udat, Tibow idei pada 'mekat' Pantun ini merupakan pemujaan kepada ipo' tibow atau dewa yang menguasai permainan tibow dan bertujuan meminta pertolongan untuk memudahkan tugas-tugas mendirikan tiang itu.
apa itu BAPAK KAUL
BAPAK KAUL
Bapak Kaul ialah ketua upacara kaul. Jawatan ini dianggap amat penting. Sebagai Ketua, Bapak Kaul bertanggungjawap memastikan upacara itu berjalan mengikut peraturan dan adat yang diperadatkan turun-tmurun.
Bapak Kaul mestilah lelaki, diiktirafkan oleh masyarakat dan arif tentang adat. Bukan sebarangan orang boleh dilantik sebagai Bapak Kaul. Bapak Kaul merupakan perantara atau orang tengah yang akan menghubungkan penduduk di dunia nyata dengan Ipok di alam maya. Beliau hendaklah orang yang dihormati oleh masyarakat kerana keperibadiaannya, keturunanya, jawatan atau pengetahuan dari segi adat resam dan budaya Melanau merupakan pemimpin elit tradisional.
Bapak Kaul seorang yang berkuasa dan dihormati oleh masyarakat tempatan. Beliau menjadi tonggak upacara dan akan mengetuai upacara kaul. Beliau bertanggungjawab memujuk, merayu makhluk halus dan ipok, menghalau segala kejahatan dan malapetaka yang mungkin menimpa, malah bertanggungjawab memastikan pantang larang dipatuhi dan menghukum mereka yang ingkar.
Bagaimanapun, di Dalat, Bapak Kaul adalah daripada keturunan Sepok. Orang lain tidak boleh menjadi Bapak Kaul kerana sudah menjadi semacam sumpahan dan tampaknya amalan itu belum lagi dilanggar sejak beberapa generasi kerana penduduk takut sesuatu yang tidak baik akan menimpa mereka jika mengingkarinya.
Difahamkan sudah sempilan orang daripada keturunan Sepok dilantik menjadi Bapak Kaul, dengan Agut Ujo sahaja memengang peranan itu sebanyak dua kali. Mereka dipercayai mempunyai "Keramat" untuk menjalankan upacara itu, lebih-lebih lagi pada sebelah pagi upacara kaul diadakan, Bapak Kaul berkenaan perlu memandikan Belisieng yang keramat itu dengan bacaan doa.
Sebagai orang yang diamanahkan untuk memujuk ipok secara langsung melalui doa yang dizahirkan, Bapak Kaul mempunyai tanggungjawab besar memastikan amanah yang diletakkan di atas bahunya dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.Beliau menjadi tempat bergantung harap masyarakat tempatan, terutamanya zaman dahulu kerana doa yang disampaikannya akan menentukan nasib dan kehidupan penduduk.
apa itu KAUL.....
KAUL DAN INTERPRESTASINYA
Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi. Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain.
Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau "Pagan" untuk memohon restu daripada penunggu laut,darat,ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki. Disebabkan kaum Melanau sinonim dengan aktiviti nelayan, Kaul diadakan bagi menandakan musim tengkujuh telah berlalu.
Perubahan agama dan anutan di kalangan masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul. Kehadiran Islam dan Kristian membawa senario baru kepada Kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai satu pesta sosio-budaya.
Namun di dalamnya masih terselit keunikan warisan Bangsa Melanau di Negeri Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut masa.
Pesta Kaul menjadi medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menghidangkan satu manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian.
Kini sambutannya disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti "Tibow", pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti "Tebaloi, Si'et, Sagu dan Umai", persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan yang lebih menarik adalah proses penyatuan keakrabaan yang menemukan pelbagai bangsa, agama dan pertuturan dalam upacara perkelahan komuniti.
Saturday, January 8, 2011
pengenalan Sri Ritma Borneo
Sri Ritma Borneo, sebuah kelab seni kebudayaan Melanau ditubuhkan di Mukah pada tahun 2008 bertujuan untuk memastikan bahawa adat dan tarian bangsa melanau sentiasa hidup dan tak telan dek zaman.Sri Ritma Borneo sebenarnya menumpukan lebih kepada tarian asli melanau..
Pengerusi & Pengurus Kelab Sri Ritma Borneo ialah Jasmin Tahirin Smith. Beliau begitu mengambil berat mengenai suku adat dan tarian melanau.Beliau juga berketurunan darah melanau
Subscribe to:
Posts (Atom)